4 kenderaan bertembung, seorang alami kecederaan
KUCHING: Seorang pemandu mengalami kecederaan dalam kemalangan berantai yang melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Pending pada jam 9.50 pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, sepasukan anggota BBP Padungan dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta mengeluarkan mangsa tersepit.
"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya berlaku kemalangan berantai yang melibatkan empat buah kenderaan iaitu Toyota Hilux, Mitsubishi Triton, Proton Exora dan Proton Pesona," jelasnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan seorang pemandu Toyota Hilux dengan menggunakan peralatan rescue tool.
Setelah berjaya mengeluarkan mangsa, pasukan bomba mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki dan badan.
"Mangsa diberi rawatan awal oleh pihak EMRS Padungan dan dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Adalah difahamkan bahawa mangsa lain yang terlibat dalam kejadian kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Setelah melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan, maka operasi ditamatkan pada jam 10.26 pagi.