Usul percaya terhadap PM Anwar dibentang di Dewan Rakyat

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof membentangkan usul percaya kepada Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR-- Usul Undi Percaya terhadap Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini untuk mendapatkan keabsahan memimpin Kerajaan Perpaduan.


Usul tersebut dibentangkan oleh Timbalan Perdana  Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang bersidang selama dua hari mulai hari ini, dan disokong seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Fadillah ketika mengemukakan usul tersebut berkata menyedari prospek ekonomi dunia tahun hadapan dijangka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat.


Beliau berkata kepimpinan Anwar dan Kerajaan Perpaduan perlu disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Ini akan memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur, komuniti perniagaan serta rakyat,” katanya, lapor Bernama.


Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov lepas.


Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti politik atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah.


Fadillah ketika membentangkan usul tersebut merafak penghargaan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja-Raja Melayu melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.


Beliau berkata Kerajaan Perpaduan komited untuk menggalas amanah rakyat dan sedang giat melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial dan perubahan persekitaran.


Beliau berkata pentadbiran Kerajaan Perpaduan akan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan serta kesaksamaan sosial termasuk usaha-usaha reformasi bidang-bidang tertentu.


“Kerajaan Perpaduan berikrar dengan iltizam yang jitu untuk terus menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatupadukan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta mengangkat martabat Malaysia di mata dunia,” katanya.


Justeru kata beliau, Ahli Parlimen perlu mengambil ketetapan dan berikrar memberi sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Anwar bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.

Next Post Previous Post