Tiga nyaris rentung, kereta terbakar
MIRI--Seorang wanita bersama dua lagi penumpang sempat menyelamatkan diri sebelum kenderaan yang dinaiki mereka tiba-tiba terbakar, dalam kejadian awal pagi tadi di Jalan Desa Ilmu Senadin.
Menurut Pemangku ketua Bomba dan Penyelamat Miri Ahmad Nizam Sapaiee, sebelum kejadian, kesemua mangsa baru sahaja pulang dari rumah kenalan di Tudan Desaras.
"Setibanya di lokasi kejadian, pemandu wanita berusia 54 tahun terhidu bau asap dari bahagian enjin kereta jenis Proton Wira tersebut, lalu memberhentikan kenderaannya," ujar Ahmad Nizam.
Sebaik sahaja mereka keluar dari kenderaan, api tiba-tiba marak.
"Sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 1.36 pagi, seramai empat orang anggota dari Balai Bomba Lopeng dikerahkan ke lokasi," ujarnya.
Kerugian dianggarkan sebanyak RM15,000.
Operasi tamat jam 2.16 pagi.