Tiga kali tempah tiket penerbangan dibatalkan, suami isteri temui jalan buntu balik Sarawak
KUALA LUMPUR-- Sepasang suami isteri menemui jalan buntu apabila tiket penerbangan mereka untuk pulang ke Sarawak dibatalkan tiga kali oleh syarikat penerbangan tambang murah.
Berikutan itu, Norhafizah Kaderi, 34, dan suaminya Ahmad Bakri, 32, bimbang hasrat mereka untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya pada Sabtu ini tidak akan tercapai.
"Saya dan suami sekarang buntu bagaimana hendak pulang ke Kuching untuk menghadiri majlis perkahwinan adik saya Sabtu ini.
"Tiket penerbangan yang dibeli dua minggu lepas dibatalkan sebanyak tiga kali dan aduan telah dibuat kepada pihak syarikat penerbangan termasuk Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)," katanya ketika dihubungi Borneo Network.
Jelas Norhafizah, tiket penerbangan itu dibeli menerusi aplikasi Airpaz pada 27 November lalu.
"Tiket ini dibeli oleh adik saya sendiri menggunakan aplikasi tersebut dan pada hari yang sama dia menerima email yang mengatakan tempahan tersebut dibatalkan dan diberikan baucar sebagai ganti untuk membuat pembelian tiket penerbangan di aplikasi tersebut.
"Namun, apabila tempahan kedua dibuat ia juga dibatalkan dan diberikan baucar sebagai ganti dan begitulah perkara yang sama semasa melakukan tempahan ketiga," katanya.
Ekoran itu, katanya, adiknya membuat aduan terus kepada syarikat penerbangan tambang murah tersebut dan juga pihak MAVCOM.
Bagaimanapun, Norhafizah memberitahu sehingga kini masalah tersebut belum dapat diatasi.
"Setiap kali baucar ganti tiket penerbangan itu diberikan nilai duitnya semakin berkurangan kerana jika harga tiket yang ditempoh kurang daripada nilai baucar tersebut bakinya akan hangus begitu saja," tambahnya lagi.
Sehubungan itu, dia dan suami berharap agar pihak bertanggungjawab dan syarikat penerbangan terlibat dapat mengatasi masalah tersebut dalam kadar segera.