Tiada akses jalan, Bomba terpaksa padam kebakaran guna air sungai
SIBU--Pihak Bomba terpaksa menggunakan air sungai memadam kebakaran sebuah kediaman di Jalan Mewah, Sungai Sadit di sini, selepas tiada akses jalan ke tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 5.25 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah setingkat tidak kekal yang berkeluasan yang terbakar 90 peratus.
"Anggota Bomba menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran hos hantaran dua nozel, satu pam angkut dan sumber air terbuka dari sungai memandangkan lokasi kebakaran tidak dapat dilalui oleh jentera akibat dari tiada akses untuk kenderaan ke lokasi kebakaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran dapat dikawal jam 6.30 petang.
"Tiada mangsa terlibat mahupun cedera di mana seorang penghuni telah berjaya keluar dari rumah semasa kebakaran berlaku.
"Operasi tamat sepenuhnya jam 7 malam, setelah mendapati kebakaran padam sepenuhnya, anggota Bomba berangkat balik ke balai," ujarnya.