‘Temukan mayat ibu dan anak berpelukan, pengalaman sukar dilupakan’- Bomba


BATANG KALI— Saat menemukan mayat seorang ibu berpelukan dengan anak perempuannya berusia lingkungan tiga tahun di bawah timbunan lumpur di kawasan tanah runtuh di sini Jumaat lepas telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada Pegawai Bomba Kanan Shahari Shamsuddin.


Shahari, 47, yang merupakan antara anggota penyelamat terawal menjumpai mayat kedua beranak itu, berkata ia menjadi antara pengalaman tidak dapat dilupakan sepanjang 23 tahun berkhidmat dalam pasukan bomba dan turut mengusik hatinya sebagai seorang bapa.


“Apabila saya menemukan mereka berpelukan, saya teringat pada anak saya. Subhanallah, tidak dapat saya bayangkan jika kejadian menyayat hati itu berlaku kepada keluarga saya.


“Ketika proses hendak mengeluarkan mayat mereka, saya terpaksa menahan perasaan sedih. Sebagai anggota penyelamat, saya perlu mengawal emosi namun sebagai manusia biasa, perasaan hiba itu terlalu sukar untuk dibendung,” katanya, lapor Bernama.


Menceritakan kembali detik penemuan itu, Shahari berkata beliau tiba di lokasi kejadian pada 10 pagi dan ditugaskan bersama 30 lagi rakan sepasukan untuk menjalankan misi mencari mayat mangsa di zon merah.


Beliau berkata anggota penyelamat terpaksa berdepan cabaran lumpur tebal yang menyukarkan pergerakan.


Katanya pergerakan tanah juga masih berlaku di lokasi itu berikutan terdapat laluan air bawah tanah.


Shahari berkata kerja-kerja menggali terpaksa dilakukan secara berhati-hati untuk mengelak daripada peralatan yang digunakan menjejas tubuh mayat di bawah tanah.


Katanya tidak lama selepas menggali, mayat ke-17 dan 18 itu ditemukan di tapak perkhemahan yang terletak bersebelahan sungai pada 4.40 petang.


Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Mohd Shaiful Nizam Mohd Rosdy, 39, yang bertugas di lokasi kejadian iaitu Sektor C, turut mengakui operasi kali ini amat mencabar kerana struktur tanah yang mendap.


“Faktor cuaca tidak menentu menjadi antara cabaran utama dan kadang-kadang kita tak sedar pun kita berada di atas mangsa (yang tertimbus),” katanya yang berkhidmat dengan bomba selama 17 tahun.


Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi di  tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali itu setakat ini menyaksikan 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang.

Next Post Previous Post