Tanah runtuh: PM arah misi mencari dan menyelamat dibuat secara rapi, menyeluruh
Operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian oleh nggota Bomba dan Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA). Gambar kredit Twitter NADMA |
KUALA LUMPUR— Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan misi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands dilakukan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.
"Mohon doa rakyat Malaysia agar misi ini dapat dipermudahkan dan saya sendiri akan turun ke lokasi malam ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini, lapor Bernama.
Anwar berkata beliau dimaklumkan beberapa menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini dan menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja-kerja mencari dan menyelamat.
Setakat ini, lapan maut manakala 60 orang lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh awal pagi ini.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas, Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).