Tanah runtuh: GPR kesan 5 bendasing di sektor A dan C
Alat GPR berjaya mengesan lima bendasing di sektor A dan C pencarian. Gambar Kredit Twitter Nadma |
BATANG KALI-- Lima bendasing dikesan Jabatan Ukur dan Pemetaan, malam tadi di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata penemuan dengan menggunakan alat ‘Ground Penetrating Radar(GPR)’ itu di sektor A dan C kawasan pencarian membantu pasukan operasi mengecilkan skop pencarian pada malam tadi.
Beliau berkata jumlah keanggotaan operasi SAR pada malam ini juga akan dikecilkan atas faktor keselamatan, selain untuk mengurangkan pergerakkan tanah.
“Unit anjing pengesan K9 tidak akan terlibat pada pencarian waktu malam selain memberikan masa untuk mereka berehat sebelum memulakan semula tugas esok,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini, lapor Bernama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah berkata operasi SAR pada hari keempat itu masih belum menemukan sebarang hasil yang positif setakat jam 9 malam ini.
"Bagaimanapun, memandangkan operasi masih diteruskan ketika ini, saya harap kita akan menemui sesuatu dan mengesan mangsa yang masih hilang malam ini," katanya.
Tinjauan Bernama di PKTK, mendapati hanya pergerakan keluar masuk kenderaan agensi penyelamat, selain kenderaan pengangkut sampah oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor di PKTK.
Pengamal media juga telah beransur pulang secara berperingkat dan hanya sekumpulan kecil masih ‘berkampung’ di PKTK menunggu perkembangan semasa kejadian berkenaan.
Keadaan cuaca pada malam tadi juga agak baik.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada jam 2.42 pagi pada Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.