Tanah runtuh Batang Kali: Lapan maut, 60 ditemukan selamat 

Anggota penyelamat sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan . Gambar Twitter APM


KUALA LUMPUR— Lapan maut manakala 60 orang lagi ditemukan selamat dalam kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, setakat 9.15 pagi tadi.

Menurut Jurucakap Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Selangor, daripada jumlah itu, seorang daripadanya sudah dikenal pasti sebagai wanita dewasa manakala dua lagi adalah kanak-kanak.

"Bagaimanapun, identiti mereka yang terkorban masih belum dikenal pasti. Tujuh daripada mereka mengalami kecederaan. Ini menjadikan, 68 orang mangsa terlibat telah ditemukan setakat ini," katanya dalam kenyataan terkini agensi itu, lapor Bernama.

Kira-kira 7 pagi tadi, laporan awal dari Balai Polis Gohtong Jaya memaklumkan 36 orang yang terselamat ditempatkan di Balai Polis Ulu Yam Bharu dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini untuk tindakan lanjut.

Maklumat awal pihak polis menyebut 100 orang dikhuatiri terperangkap selepas tapak perkhemahan mereka terlibat dengan kejadian runtuhan tanah yang dianggarkan setinggi 30 meter, awal pagi tadi.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Next Post Previous Post