Tanah runtuh: Anggota APM pengsan ketika bertugas

Anggota APM berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut. Gambar kredit FB APM

BATANG KALI-- Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, pengsan dipercayai akibat keletihan melampau.


Jurucakap APM Selangor berkata Muhammad Faiq Haikhal Mohd Jeffrey dari cawangan Sabak Bernam pengsan kira-kira 1 tengah hari tadi dipercayai akibat cuaca panas terik, selain berkemungkinan dehidrasi kesan kurang minum air kerana terlalu fokus kepada pencarian mangsa.


"Beliau memulakan tugasnya hari ini pada 7.30 pagi tadi dan telah terlibat dalam operasi SAR tersebut secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.


Menurutnya anggota APM berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.


Setakat hari ini, tragedi runtuhan yang berlaku pada awal pagi 16 Dis lepas telah meragut 30 nyawa, manakala 61 selamat dengan berbaki seorang lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.


Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Next Post Previous Post