SPRM fokus siasat RM92.5 bilion dibelanja kerajaan PN urus Covid-19


KUALA LUMPUR— Fokus siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika Covid-19 tertumpu kepada RM92.5 bilion, yang dibelanjakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.


SPRM berkata, hanya RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada peruntukan dianggarkan sebanyak RM530 bilion yang dibelanjakan untuk menguruskan Covid-19 pada 2020 dan 2021.


“Siasatan awal SPRM mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan sebanyak RM530 bilion.


Daripada jumlah itu, RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.


“Justeru fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana RM92.5 bilion berkenaan,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.


Kenyataan itu menambah, SPRM telah menerima daripada Kementerian Kewangan mengenai butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan COVID-19.


SPRM memaklumkan Kementerian Kewangan kini sedang memperincikan pecahan berkenaan dan akan menyerahkannya kepada suruhanjaya itu minggu hadapan.


Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 itu, pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.


Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu itu.


Anwar berkata Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu berkenaan.


Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan itu, ketika beliau mengetuai pentadbiran sebelum ini.

Next Post Previous Post