Remaja maut motosikal dirempuh pikap


KUCHING— Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah pikap di lampu isyarat Jalan Datuk Amar Wee Bong Ping/Kuching City Mall di sini, malam tadi.


Dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, mangsa yang maut dikenali Ronaldy Robster ak Michael, 16, yang juga seorang pelajar.


Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan berlaku ketika pikap dipandu seorang juruteknik berusia 30 tahun dari arah Batu 4 menuju ke Batu Kawa. 


"Apabila sampai di lampu isyarat Datuk Amar Wee Bong Ping, semasa bergerak lurus tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang  mangsa dari arah Batu Kawa membuat pusingan-U di lampu isyarat tersebut.


"Motosikal terbabit masuk ke laluan pikap mengakibat pemandu melanggar penunggang motosikal dari belakang," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, akibat dari pelanggaran itu penunggang motosikal yang cedera di bahagian kepala dan anggota badan telah dibawa oleh ambulans ke hospital. 


"Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.


"Kenderaan terlibat dibawa ke Balai Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia," tegasnya.


Abang Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Next Post Previous Post