Remaja dibawa arus deras laut ditemui terdampar di pantai
Gambar BBP Bintulu |
BINTULU: Seorang remaja lelaki yang dikhuatiri dibawa arus deras laut semasa mengadakan aktiviti riadah di Pantai Kuala Nyalau ditemui mati terdampar di kawasan pantai berdekatan pada awal pagi tadi.
Maklumat awal yang diperoleh dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu mengesahkan mayat mangsa dijumpai oleh penduduk kampung pada jam 6.40 pagi tadi.
Adalah difahamkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju sepatutnya diteruskan pada hari ke-2 hari ini pada jam 8 pagi tadi.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.
Pada petang semalam sekitar jam 5 petang, mangsa yang dikenali sebagai Riyan,17, yang berasal dari Indonesia bersama-sama tiga lagi rakannya sedang beriadah di kawasan pantai sebelum mangsa hanyut dibawa arus deras laut.
Rakannya yang juga remaja lelaki berusia 18 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang turut berada di kawasan pantai.
Adalah difahamkan bahawa nama mangsa belum lagi dapat disahkan.