Pukul isteri dan anak, penganggur dipenjara sembilan tahun

Tertuduh didakwa memukul isterinya, menumbuk di bahagian mulut anak perempuan berusia 13 tahun hingga berdarah dengan tangannya dan menendang bahagian belakang badan anak lelakinya berumur 12 tahun menggunakan kaki. Gambar hiasan

MELAKA—Seorang penganggur dihukum penjara berjumlah sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan mencederakan isteri dan dua anaknya.


Di Mahkamah Sesyen, Rony Abraham, 37, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Hakim Mohd Sabri Ismail kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Nazifah Mohd Salleh, 38, dengan mencucuh puntung rokok di lengan tangan kanan dan di tepi mata serta memukul di pipi dan seluruh badan.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya.


Di hadapan Majistret Sharda Shenha Mohd Suleiman pula, Rony yang menghadapi tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada isterinya dan dua anak mereka berusia 12 dan 13 tahun, dijatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman itu diperintahkan berjalan serentak.


Tertuduh didakwa memukul isterinya, menumbuk di bahagian mulut anak perempuan berusia 13 tahun hingga berdarah dengan tangannya dan menendang bahagian belakang badan anak lelakinya berumur 12 tahun menggunakan kaki.


Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Tempayan, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah  antara 7 pagi dan 11 pagi  pada 17 Okt lepas, lapor Bernama.


Bagi tiga pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara dua tahun dengan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan, kerana kesalahan tertuduh yang memukul dan mendatangkan kecederaan kepada isteri dan anak-anaknya adalah serius.


“Tertuduh seharusnya bertanggungjawab dan melindungi isteri dan anak-anak dan bukannya mendatangkan kecederaan kepada mereka,” kata Fiqri.


Rony yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia sudah insaf dan menanggung anak-anaknya yang masih kecil.


Mengikut fakta kes, tertuduh yang berang apabila isterinya tidak membelikan rokok untuknya bertindak mencucuh puntung rokok pada tubuh isterinya sebelum bertindak mencederakan dua lagi anaknya. 

Next Post Previous Post