Petronas temui minyak dan gas di Balingian

Gambar arkib

KUALA LUMPUR—Anak syarikat milik penuh PETRONAS, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) menemui minyak dan gas di telaga Nahara-1 di Blok SK306, yang terletak di perairan cetek di Balingian kira-kira 150 kilometer dari Bintulu, luar pantai Sarawak. 


Telaga Nahara-1 berjaya digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 2,468 meter dan menemui hidrokarbon di jujukan sedimen Late Oligocene hingga Middle Miocene, kata PETRONAS dalam satu kenyataan hari ini.


Minyak ringan dengan bahan cemar minimum juga terbentuk selepas pengujian pengeluaran dijalankan bagi telaga itu. 


PCSB merupakan pengendali blok tersebut dengan 100 peratus kepentingan penyertaan dalam kontrak perkongsian pengeluarannya, lapor Bernama.


Naib Presiden Eksplorasi PETRONAS Mohd Redhani Abdul Rahman berkata syarikat itu gembira dengan penemuan tersebut dan impaknya ke atas usaha eksplorasi masa depan di kawasan sekitar. 


“Nahara-1 adalah penemuan minyak yang penting oleh PCSB dalam tempoh dekad lepas. Ia adalah bukti potensi besar lembangan prolifik Malaysia yang kekal sangat prospektif,” katanya. 


Mohd Redhani berkata penemuan itu juga mengukuhkan strategi eksplorasi semasa PCSB untuk meneruskan fokus dalam usaha eksplorasinya di lembangan Malaysia. 

Next Post Previous Post