Petronas, PAC catat 10 penemuan hidrokarbon tempatan pada 2022

Lapan penemuan minyak dan gas dibuat di luar persisir Sarawak dan masing-masing satu di luar persisir Sabah dan Semenanjung Malaysia.

KUALA LUMPUR-- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kontraktor pengatur petroleum (PAC) telah mencatat sebanyak 10 penemuan hidrokarbon di Malaysia pada 2022 berikutan peningkatan aktiviti cari gali di seluruh negara.


Lapan penemuan minyak dan gas dibuat di luar persisir Sarawak dan masing-masing satu di luar persisir Sabah dan Semenanjung Malaysia, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.


Penemuan minyak terbesar telah dibuat oleh Petronas Carigali di telaga Nahara-1 di Blok SK306 dalam wilayah Balingia, Sarawak.


Selain itu, penemuan juga dibuat di wilayah Luconia Tengah, Luconia Barat dan Baram Sarawak, yang merupakan antara lembangan paling prolifik di Malaysia dan menempatkan banyak medan gas di Malaysia, kata Petronas.


Di wilayah Central Luconia pula, Shell mencatakan penemuan di telaga Inai-1 dan Temu-1 di Blok MLNG manakala Mubadala Energy menemui lebih banyak gas di Blok SK320 di telaga Cengkih-1.


Di wilayah Luconia Barat, ConocoPhillips menggerudi tiga telaga penerokaan di Blok WL4-00 dan menemui gas di telaga Gagau-1 manakala telaga Salam-3 dan Benum-2 mengesahkan kerja-kerja pengumpulan minyak dan gas dilanjutkan di blok bersebelahan.


Di wilayah Baram yang telah membangun, PTTEP membuat satu lagi penemuan gas di Blok SK410B melalui telaga Paprika-1, di mana Lang Lebah juga ditemui pada 2019.


Di perairan ultra dalam Sabah, TotalEnergies membuat penemuan minyak dan gas di telaga Tepat-2 di Blok N dalam wilayah Sabah Trough yang sedang berkembang seterusnya membuktikan ia adalah lanjutan kepada penemuan minyak dan gas terdahulu, Tepat-1 pada 2018.


Di luar pantai Semenanjung Malaysia, Hess menemui takungan gas baharu di telaga Bergading Deep-4 di Blok PM302 di North Malay Basin.


Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata tahun 2022 merupakan tahun yang baik untuk penerokaan di Malaysia.


“Saya gembira dengan peningkatan aktiviti penerokaan di mana 16 telaga telah siap dengan dua lagi sedang berjalan, menggandakan angka dicatatkan pada 2021.


“Nisbah kejayaan 60 peratus kami mengesahkan sifat prolifik lembangan di Malaysia. Kebanyakan penemuan boleh menghasilkan keuntungan dengan cepat pada kos yang lebih rendah memandangkan ia berdekatan dengan rangkaian luas infrastruktur sedia ada,” katanya dalam kenyataan itu, lapor Bernama.


Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Penerokaan Sumber MPM, Azmir Zamri berkata set data pelbagai pelanggan MPM yang luas meliputi kawasan baru yang membangun dan kawasan sempadan akan terus menjadi perkara penting dalam mempercepatkan masa untuk kerja-kerja penggerudian.


“Didayakan oleh pelan penjujukan pelantar jangka panjang MPM, PAC sedang bersiap sedia untuk menggerudi sebanyak 30 telaga penerokaan tahun depan. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk terus meningkatkan asas sumber hidrokarbon negara bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat bukan sahaja di dalam negara tetapi di peringkat global,” katanya.


Selain kejayaan penerokaan terdapat peningkatan pengambilan dalam Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2022, pelabur bertindak balas terhadap permintaan untuk pelaburan penerokaan yang lebih besar.


Petronas berkata pemeteraian Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) untuk bidaan MBR 2022 yang dirancang pada Februari tahun depan, diikuti dengan pelancaran MBR 2023.


MBR 2022 telah dilancarkan pada 27 Jan 2022 dengan 14 blok penerokaan, enam kelompok Peluang Sumber Ditemui (DRO) dan satu kelompok Aset lHayat Lewat (LLA) ditawarkan dalam pusingan pembidaan.


Petronas menerusi MPM memberikan lesen petroleum, menguruskan pengaturan petroleum dan menyediakan pengawasan terhadap aktiviti petroleum huluan di Malaysia.

Next Post Previous Post