Penunggang, pembonceng cedera, motosikal berkuasa tinggi terbakar kemalangan dengan pikap
BETONG-- Penunggang dan pembonceng motosikal berkuasa tinggi berdepan detik mencemaskan selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan pikap lalu terbakar di persimpangan Layar, Jalan Betong-Saratok di sini, petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 3.40 petang dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
"Kemalangan melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi yang dinaiki dua pemuda berusia 18 dan 23 tahun dengan pikap.
"Akibat kemalangan itu motosikal berkuasa tinggi tersebut telah terbakar 100 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya,pasukan Bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula, bagi mengawal serta memadam kebakaran motosikal.
"Kedua-dua penunggang serta pembonceng motosikal telah mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh Unit EMRS.
"Seterusnya dibawa ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan, manakala pemandu serta penumpang pikap tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.