Pengasuh taska dipenjara 7 hari, denda RM32,000 aniaya dua kanak-kanak
KUALA LUMPUR-- Seorang pengasuh sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dihukum penjara seminggu dan didenda RM32,000 oleh dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menganiaya dua kanak-kanak, bulan lepas.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman penjara seminggu dan denda RM20,000 terhadap Siti Rosliza Mukhtar, 47, kerana menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berumur setahun dua bulan dengan menekup kepalanya dengan plastik.
Wanita itu turut dipenjara sehari dan didenda RM12,000 oleh Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi kerana menganiaya seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia setahun dua bulan dengan mengheret tangannya secara kasar serta menarik rambut untuk mendudukkannya.
Kedua-dua perbuatan itu mungkin menyebabkan dua kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan fizikal atau emosi, yang mana kesalahan tersebut dilakukan di sebuah taska di Brickfields di sini, pada jam3.19 petang dan 5.36 petang, 16 Nov lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, lapor Bernama.
Bagaimanapun, hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini dan tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan fakta kes, kanak-kanak perempuan itu terkencing dan terkena kain tertuduh semasa tertuduh ingin menukar lampin mangsa menyebabkan wanita berkenaan bertindak memukul belakang mangsa dua kali serta menekup kepalanya dengan beg plastik lima hingga enam saat dan memegang kepala mangsa dengan kedua-dua tangannya.
Selain itu, ibu kepada kanak-kanak lelaki terbabit mendapati, ada kesan luka dan lebam di telinga anaknya itu dan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup mendapati tertuduh menolak dan mengheret mangsa sehingga jatuh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh kerana jelas berlaku penganiayaan terhadap kanak-kanak tersebut dan sebagai orang dewasa, tertuduh boleh lihat kesan dan akibat tindakannya itu.
TPR Noorhani Muhmmed Ayub, berkata pengasuh sepatutnya menjaga kanak-kanak dengan baik seperti yang diamanahkan oleh ibu bapa mereka.
“Tindakan tertuduh menekup kepala mangsa dengan plastik membahayakan serta mengakibatkan kecederaan serius kepada kanak-kanak itu. Saya mohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh,” kata Noorhani.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung ibu dan adiknya selain perlu melunaskan bayaran pinjaman di syarikat lama dia bekerja.