Pendaratan pesawat dipendek hingga 22 minit mulai Mei depan


SEPANG—Bermula 18 Mei 2023, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melaksanakan Sistem Laluan Pelepasan Standard (SIDs) dan Laluan Pendaratan Standard (STAR) bertujuan memendekkan laluan mendarat pesawat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.


Beliau berkata sistem berkenaan membolehkan kawalan trafik udara menjadi lebih efisien dengan memberikan nilai tambah kepada syarikat penerbangan, penumpang dan alam sekitar dari segi pengurangan karbon.


Loke berkata secara kebiasaanya, sesuatu pesawat perlu membuat beberapa pusingan sebelum mendarat dengan menunggu giliran masing-masing namun dengan sistem baharu, pergerakan pesawat lebih mudah dan dapat dipendekkan.


“Apabila pergerakan pesawat dipendekkan, masa untuk mendarat lebih pantas dan menjimatkan kos bahan bakar sekali gus menjimatkan kos operasi syarikat penerbangan. Dengan adanya sistem ini, dianggarkan boleh jimatkan kos bahan bakar sebanyak RM500 juta setahun untuk syarikat penerbangan.


“Selain itu, kita juga dapat menyumbang kepada penurunan jejak karbon susulan ia adalah sebahagian daripada Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA), program di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di sini hari ini, lapor Bernama.


Loke berkata sistem baharu itu juga akan memanfaatkan penumpang kerana mampu memendekkan masa penerbangan antara 18 hingga 22 minit.


Beliau berkata implementasi sistem tersebut mengambil masa sehingga Mei tahun hadapan memandangkan perlu waktu secukupnya bagi memberikan latihan kepada pegawai udara.


“Sistem ini memerlukan sedikit masa untuk latihan selain perlu memaklumkan kepada syarikat penerbangan dan juruterbang bagi membiasakan diri dengan laluan pesawat,” katanya.


Sementara itu, Loke berkata pihaknya telah meminta kerjasama CAAM untuk memastikan semua menara trafik udara khususnya di Sabah dan Sarawak dapat dipanjangkan waktu operasinya dan dengan itu, syarikat penerbangan boleh menambah kekerapan penerbangan pada waktu malam.


“CAAM telah memberikan komitmen kepada saya, ini akan dibuka dalam musim perayaan, iaitu seminggu sebelum Tahun Baharu Cina dan selepas perayaan, dan juga Hari Raya,” katanya yang turut menyeru syarikat penerbangan untuk menambah pesawat. 


Katanya, usaha berkenaan juga akan merungkai masalah kekurangan penerbangan, pada masa sama dapat mengurangkan harga tiket kapal terbang.


Turut hadir ketika tinjauan tersebut ialah Pengerusi CAAM Tan Sri Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Chester Voo.

Next Post Previous Post