Nilai eksport agrikomoditi RM160.6 bilion, kata Fadillah
PUTRAJAYA—Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sektor agrikomoditi menyumbangkan RM61.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga suku ketiga 2022.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata sektor berkenaan turut menyumbang nilai eksport sebanyak RM160.6 bilion dalam tempoh berkenaan selain menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Fadillah berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pemain industri minggu depan untuk meneliti beberapa perkara serta melihat keseluruhan rantaian bekalan agrikomoditi termasuk eksport.
Katanya, satu daripada cabaran sektor berkenaan ialah kebergantungan terhadap pekerja asing dan sekiranya berlaku kekurangan pekerja terutama berkaitan penuai hasil, situasi itu akan turut menjejaskan hasil dan eksport.
"Keseluruhan perkara ini akan dikenal pasti dan kemudian berunding dengan kementerian terlibat sama ada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Luar bagaimana strateginya supaya dapat melihat pengeluaran, pasaran eksport serta hasil-hasil hiliran," katanya kepada media selepas majlis konvokesyen Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Zurinah Pawanteh.
Fadillah berkata kerajaan sedar pergantungan berterusan kepada pekerja asing boleh menjejaskan sektor perladangan khususnya kepada sektor sawit untuk jangka masa panjang dan hingga 30 Okt tahun ini dilaporkan sejumlah 150,608 pekerja asing bekerja dalam sektor perladangan.
“Oleh itu, kerajaan amat menggalakkan pemain industri termasuk pekebun kecil agar dapat meningkatkan tahap penggunaan jentera di ladang-ladang," katanya, lapor Bernama.
Menurut Fadillah, kursus sama ada jangka pendek atau panjang bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran penggunaan jentera wajar dilipatgandakan untuk memastikan penggunaan jentera di ladang-ladang mencapai tahap optimum sekali gus meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
Fadillah juga berkata penguasaan teknologi berteraskan Revolusi Industri 4.0 (4IR) serta kepakaran dalam sesuatu bidang kepada golongan belia yang terlibat dalam sektor perladangan dan komoditi akan memastikan golongan itu mempunyai kemahiran seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
"Pengadaptasian teknologi juga mampu melahirkan pekebun kecil pintar yang akan mengamalkan kaedah pertanian moden menerusi penggunaan teknologi termaju, berinovasi serta meningkatkan daya saing usahawan bumiputera dalam kalangan industri hiliran," katanya.
Menurut Fadillah, ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga perlu diperkasakan melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam sektor itu demi pembangunan agrikomoditi negara yang berdaya saing selaras dengan pendekatan ekonomi gig yang semakin berkembang.
"Ekosistem TVET yang kukuh dalam sektor perladangan dan komoditi membolehkan negara menangani isu yang masih berlarutan di sektor ini seperti kebergantungan kepada pekerja asing. Inisiatif itu dapat menghasilkan pasaran buruh yang fleksibel seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat," katanya.
Majlis konvokesyen tahun ini melibatkan 584 graduan meliputi 360 individu daripada program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) manakala selebihnya program latihan kemahiran keloloan IMPAC dan agensi pelaksana.
IMPAC menyasarkan untuk melahirkan 95,000 graduan menjelang 2025 dan sehingga September lepas, institut itu sudah melatih seramai 80,290 pelatih melalui pusat-pusat latihan di bawah enam agensi kementerian atau pada purata 7,300 pelatih setiap tahun.