Morris masih hidup, misteri identiti mayat lelaki bergelar 'Minah' terjawab
KUCHING: Misteri identiti seorang lelaki berperwatakan wanita yang ditemukan mati di sebuah rumah setinggan, Kampung Nangka, Batu 7 di sini terjawab dan disyaki dia bukan warganegara Malaysia.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mayat lelaki tersebut sebelum ini dikenal pasti sebagai MKN (nama penuh dirahsiakan bagi menjaga privasi), 58, beralamat di Kampung Jagoi Stass, Bau.
Bagaimanapun katanya, apabila polis Bau ke lokasi alamat si mati untuk memaklumkan kepada waris untuk tujuan tuntutan mayat di Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS), isteri (waris) mengatakan bahawa suaminya ada di rumah dan sedang tidur (mabuk).
"Berikutan ini, MKN pada jam 11.19 pagi hari ini telah tampil membuat laporan polis bersangkut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk memaklumkan dia adalah penama yang sebenar dan pernah kehilangan kad pengenalan pada tahun 1997," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abang Zainal, polis kemudian telah ke lokasi mayat lelaki terbabit ditemukan dan dengan bantuan jiran sebelah rumah telah memasuki semula rumah si mati dan menjumpai beberapa dokumen iaitu Insuran, Kad Kesihatan dan satu keping cek dari MAA insurans berjumlah RM100.
"Adalah disyaki simati telah menggunakan identiti dirinya sebagai MKN
Berkemungkinan simati bukan warganegara Malaysia.
"Temu bual dengan jiran berdekatan memaklumkan mereka pun tidak tahu asal usul simati yang sebenar hanya kenal dengan panggilan Minah sahaja. (perwatakan perempuan - lembut)," ujarnya.
Katanya lagi, pihak Forensik sudah dimaklumkan bahawa ada kesilapan kepada nama simati.
Sebelum ini, lelaki tersebut ditemukan tidak sedarkan diri di dalam rumah Jalan Kampung Nangka Batu 7 sekitar jam 2.55 petang semalam dan disahkan telah meninggal dunia.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri dan keadaan rumah berkunci.
"Keadaan mangsa berada di atas katil dalam keadaan berbogel. Keadaan tubuh badan mangsa semuanya kembang.
"Pihak Bomba telah membantu untuk mengeluarkan mayat mangsa melalui pintu depan dan dinding rumah mangsa terpaksa dirosakkan bagi memudahkan mayat dikeluarkan.
"Hasil pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati tiada kesan-kesan atau unsur-unsur jenayah di atas kematiannya," katanya.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.