Menyamar peguam dan curi rantai, bekas banduan dipenjara 18 bulan, 2 sebatan


TAIPING—Seorang bekas banduan dihukum penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai peguam serta mencuri dua utas rantai.


Majistret Nur Atiqah Sapari memerintahkan P. Maniarasan, 28, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 23 Nov lepas.


Bagi pertuduhan menipu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan ke atas Maniarasan manakala bagi pertuduhan mencuri, dia dihukum penjara setahun.


Bagaimanapun, Nur Atiqah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak, lapor Bernama.


Maniarasan didakwa menipu M. S. Chandran, 31, bahawa dia adalah peguam bela dan peguam cara bertauliah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM2,234 secara pindahan ke akaun bank dengan menjanjikan khidmat perundangan yang tidak wujud.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Janaview Condotel dalam kawasan Taiping Golf Resort di sini pada 1.51 tengah hari 12 Ogos lepas.


Maniarasan juga didakwa menipu mangsa sama melibatkan wang sebanyak RM882 di tempat sama pada 5 petang 8 Ogos lepas.


Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.


Tertuduh juga didakwa mencuri rantai milik S. Meganathan dan G. Saroja di Jalan Azizul Rahman di sini pada 4 petang 2 Mei hingga 3 pagi 5 Mei lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda manakala bagi kesalahan kali kedua, dia boleh dihukum penjara dan denda atau sebatan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala Maniarasan diwakili peguam T. Selva daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.


Sebelum ini, Maniarasan disabitkan atas kesalahan menipu serta culik pada 2018 dan dihukum penjara dua tahun dengan tujuh sebatan sebelum dibebaskan pada Januari 2020.

Next Post Previous Post