Memorandum Jemaah Menteri berkait tuntutan Sabah, Sarawak dibentang Januari depan

Datuk Armizan (kiri) semasa mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) di Menara Kinabalu di sini hari ini. Gambar FB

KOTA KINABALU—Memorandum Jemaah Menteri mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak terutamanya melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadual dibentangkan pada awal bulan depan (Januari), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.


Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Dis lepas memberikan tempoh sebulan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan beliau sendiri untuk mendapatkan ulasan serta maklum balas tentang perkara itu daripada semua pihak berkenaan.


Beliau berkata pihaknya kini sedang mendapatkan maklum balas antaranya daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak, serta kementerian dan agensi kerajaan sebelum sebuah memorandum disediakan serta dibentangkan kepada Jemaah Menteri.


“Ini antara lain dapat memastikan tuntutan dan permohonan dikemukakan kedua-dua kerajaan dapat disusun Kerajaan Persekutuan...sudah ada perkara (tuntutan) yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kita perlu laksanakan sepenuhnya.


Pada masa sama asas (tuntutan) kita juga berdasarkan MA63 sendiri dan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan),” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini, lapor Bernama.


Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata setakat ini antara ulasan dan maklum balas yang paling utama adalah berkaitan hal ehwal kewangan dan ekonomi, selain pengembalian 40 peratus hasil Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini.


Ia memberikan tambahan hasil kepada Sabah serta Sarawak dan selain peruntukan pembangunan kedua-dua kerajaan memerlukan dana tambahan yang boleh dipantau sendiri  juga keperluan peruntukan besar bagi pembangunan infrastruktur, katanya. 


Beliau berkata pelaksanaan tuntutan Sabah dan Sarawak itu memerlukan kerjasama semua kementerian kerana melibatkan perkara dalam bidang kuasa kementerian masing-masing antaranya ekonomi, perundangan, pertanian dan sumber manusia.


“Perkara yang dituntut itu merentasi pelbagai kementerian dan tanggungjawab saya untuk menyelaras bagi memastikan ia (tuntutan) dilaksana dengan sempurna...biarlah menteri berkaitan umumkan secara spesifik perkara dipersetujui kementerian masing-masing,” katanya.


Armizan berkata semua manifesto parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang, menunjukkan komitmen tinggi untuk melaksanakan perkara termaktub dalam MA63.


“Sekarang bukan hanya kita ada permintaan rasmi kerajaan negeri dan IGC, kita ada manifesto parti ini untuk mengingatkan kepada semua parti inilah masa semua parti menyokong usaha kita melaksanakan prinsip dan semangat MA63,” katanya.


Beliau berkata MA63 bukan hanya milik rakyat Sabah dan Sarawak, sebaliknya ia adalah milik semua rakyat Malaysia bagi membolehkan semua rakyat maju bersama memacu negara di bawah naungan Persekutuan dinamakan Malaysia.

Next Post Previous Post