Lelaki warganegara Indonesia ditemukan lemas


KUCHING-- Lelaki warganegara Indonesia yang dilaporkan hilang ketika keluar menjala ikan bersama rakannya di sungai Tabuan Samajaya kawasan industri di sini, petang semalam, ditemukan lemas hari ini.


Mayat mangsa, Stepanus Selat, 22, dijumpai dalam jarak tiga meter dari lokasi mangsa jatuh sungai pada jam 12.20 tengah hari ini.



Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 1.23 pagi tadi  dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.


"Mangsa bersama seorang lagi rakannya keluar menjala jam 6 petang berada kira-kira lima meter di belakang.


"Ketika mengangkat jala, rakannya menoleh ke belakang dan mendapati mangsa tiada lagi di belakang dan hanya mendapati selipar mangsa berada di tempat kali terakhir mangsa berdiri," katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya, rakannya yang khuatir mangsa terjatuh ke dalam sungai mencari mangsa di dalam sungai tetapi tidak menjumpai mangsa.


"Selepas beberapa jam mencari, rakannya menghubungi pihak polis untuk ke lokasi kejadian sebelum pihak Polis menyuruh rakannya menghubungi Bomba untuk bantuan.


"Operasi mencari dan menyelamat (SAR)  dimulakan jam 7.30 pagi hari ini dan pencarian dijalankan dengan menyusuri sungai menggunakan bot fiber sekitar lokasi mangsa dikhuatiri jatuh sungai," katanya.



Katanya, operasi SAR turut dibantu oleh pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam(APM) dan orang awam.


"Jam 12.20 tengah hari ini mayat mangsa telah ditemui dalam jarak tiga meter dari lokasi mangsa jatuh sungai. 


"Pasukan SAR bertindak menaikkan mayat mangsa ke dalam bot dan dimasukkan ke dalam beg mayat untuk dibawa ke Pos Kawalan Bomba (PKB)," katanya.


Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan jam 1.10 tengah hari.

Next Post Previous Post