Lelaki ditemukan lemas selepas keluar menjala

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU—Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ketika keluar menjala bersama 13 rakannya berhampiran kawasan Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, di sini semalam.


Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya,  Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar berkata mangsa, Betron Anak Tela, 38, dipercayai terjatuh dan hilang ketika melakukan aktiviti itu pada kira-kira 2 pagi semalam.


Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.55 tengah hari, sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melibatkan 12 anggota dari BBP Johor Jaya, lapan anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) dari BBP Skudai dan dua anggota unit dron dari BBP Kempas, dikejarkan ke lokasi kejadian. 


“Pihak bomba membuat  pencarian di air dengan menggunakan teknik 'surface searching' dan selaman menggunakan sebuah bot aluminium serta bot orang awam, lapor Bernama.


"Mangsa berjaya ditemukan oleh PPDA pada kedalaman tiga meter dan jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa disyaki jatuh pada jam 6.35 petang," katanya menerusi kenyataan hari ini. 


Saifulbahri berkata mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.40 malam.

Next Post Previous Post