Lebih 3,000 Orang Asli Lojing tak tidur lena bimbang tanah runtuh, banjir lumpur


GUA MUSANG— Lebih 3,000 masyarakat Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing di sini merayu agar aktiviti pertanian dan penerokaan tanah di kawasan berkenaan dihentikan seketika, sehingga musim tengkujuh berakhir.


Mereka kini hidup dalam keadaan berjaga-jaga setiap kali menjelang monsun timur laut, lebih-lebih lagi kerana masih trauma dengan kejadian banjir lumpur ekoran tanah runtuh di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing, awal tahun lalu.


Seorang penduduk Jeksen Syarif, 53, berkata mereka sentiasa hidup dalam kebimbangan setiap kali musim tengkujuh, terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan tanah pertanian.


“Setiap malam kami tidak dapat tidur lena dan kena berjaga-jaga selalu, kerana tinggal di pinggir kawasan kebun dan akan menjadi mangsa jika berlaku banjir lumpur atau tanah runtuh.


“Jadi kami mohon para pekebun kurangkanlah aktiviti kerja tanah buat sementara waktu ini, bila habis musim tengkujuh mereka boleh mula menanam semulalah,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Tinggi Lojing, di sini hari ini, lapor Bernama.


Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata penduduk di kawasan tersebut terdedah dengan risiko kejadian bencana alam seperti tanah runtuh, hakisan bukit dan banjir lumpur setiap kali tiba musim hujan berpanjangan.


Beliau berharap pemantauan dijalankan oleh pihak berwajib, berkenaan aktiviti yang berisiko mendatangkan ancaman kejadian bencana di tempat tinggal mereka.


“Kita percaya aktiviti-aktiviti yang mengganggu struktur asal tanah boleh membawa risiko pada musim ini dan ia membahayakan bukan sahaja masyarakat Orang Asli tetapi juga pengguna jalan raya yang sering melalui jalan Lojing,” katanya.


Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim, turut memberi perhatian terhadap kegusaran masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar berkenaan dan berharap pemantauan pihak berkuasa khususnya Jabatan Alam Sekitar dilaksanakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.


“Beberapa penempatan Orang Asli yang berisiko dengan ancaman tanah runtuh, banjir lumpur dan hakisan bukit adalah Kampung Jedip, Kampung Sengsang, Kampung Brooke Lama, Kampung King Kong, Kampung Sangwai A dan B, Kampung Sendrop dan Kampung Bahong,” katanya.


Semalam, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengeluarkan amaran potensi berlakunya tanah runtuh di beberapa kawasan tumpuan di empat negeri termasuklah di Lojing.

Next Post Previous Post