Larry kecewa tidak dilantik dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan
KUCHING-- Walaupun tampil menjadi Ahli Parlimen yang terawal memberi sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi Perdana Menteri, Datuk Larry Sng kecewa tidak dipilih dalam barisan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Pengerusi PH itu.
Katanya, beliau amat kecewa dengan senarai barisan Kabinet Persekutuan yang diumumkan Anwar malam ini.
"Tiada kata yang dapat diluahkan betapa kecewanya saya terhadap senarai Kabinet yang diumumkan ini meskipun Parti Bangsa Malaysia (PBM) antara yang terawal memberi sokongan kepada DSAI untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10, namun (tidak dilantik) mewakili Kabinet ini," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Namun begitu, tegas Ahli Parlimen Julau itu, sebagai sebuah parti, PBM tidak boleh membiarkan kepentingan peribadi menghalang kepentingan negara.
"Untuk memastikan negara bergerak ke hadapan, kita juga perlu memainkan peranan untuk mengukuhkan asas kerajaan ini. Itulah yang patut di Malaysia.
"Dalam pada itu, saya akan memanggil untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan PBM dalam tempoh terdekat, untuk menentukan hala tuju kita pada masa hadapan," tegas Larry.
Tambahnya, PBM masih akan kekal sebagai parti nasional dan adalah penting untuk parti itu mengembangkan sayapnya.
"Saya tidak menolak kemungkinan penggabungan dan pembinaan gabungan dengan parti politik lain, sama seperti yang kita rancang sebelum PRU15," ujarnya.
Pada PRU15 lalu, Larry yang merupakan Presiden PBM memberitahu partinya menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka apabila hanya menang satu kerusi Parlimen pada PRU15.
"PBM telah bertanding di lima kerusi Dewan Rakyat iaitu Julau, Ampang, Hulu Selangor, Kapar dan Labuan.
"Sementara itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tronoh di Perak dan Bugaya di Sabah.
"Daripada semua yang ditandingi, PBM hanya memperoleh satu kerusi melalui Parlimen Julau yang dimenangi presiden parti, Datuk Larry Sng," katanya.
Larry berjaya memenangi kerusi Parlimen Julau di Sarawak dengan majoriti 1,340 undi menewaskan tiga saingan lain iaitu Joseph Salang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Susan George (Parti Bangsa Dayak Sarawak) dan Elly Lawai Ngalai (Bebas).
Joseph memperoleh 7,819 undi manakala Elly mendapat 5,224 undi, sementara Susan hanya memperoleh 335 undi.