Lambakan telur "beromega", siapa yang tentukan dan periksa?


KUCHING— Sejak akhir-akhir ini, lambakan telur premium di pasaran menjadi tanda tanya dalam kalangan pengguna terutamanya kesahihan gred telur premium berkenaan. 


Dengan harga telur premium yang dijual lebih tinggi daripada telur biasa yang merupakan antara barang terkawal, telur berkenan kini dilihat mendominasi stok di rak-rak di setiap pasar raya. 


Lebih membimbangkan pengguna selain harga yang disifatkan agak mahal, kualiti dan kesahihan gred telur premium yang dikatakan kaya omega itu tetap menjadi persoalan. 


Malah, pelabelan telur premium menjadi isu kerana ada pihak didakwa mengambil kesempatan menaikkan gred telur sesuka hati tanpa kebenaran.


Memetik laporan Utusan Malaysia, isu berkenaan semakin serius sejak bulan lalu, memburukkan lagi krisis kekurangan bekalan sumber protein itu dalam negara.


"Sumber dalaman industri memberitahu, sehingga kini tiada tindakan diambil mana-mana pihak bagi menangani komplot yang menipu pengguna.


"Isu pelabelan telur itu sudah berlaku sejak puluhan tahun, apabila ada ladang telur, pemborong dan peruncit yang mendapati tiada pihak memantau label dan penggredan telur, maka mereka mula meletakkan label premium pada telur keluaran masing-masing," kata sumber berkenaan. 


Tambahnya lagi, komplot sewenang-wenangnya meletakkan label premium dan kaya omega pada produk telurnya, sedangkan tiada langsung mana-mana agensi kerajaan yang mengesahkannya.


Tegasnya, isunya, pertama ada segelintir pengeluar telur, pemborong dan peruncit sesuka hati meletakkan label premium pada telur. 


"Sedangkan tiada mana-mana agensi kerajaan yang memberi pengiktirafan kepada telur-telur itu, sama ada telur itu premium atau tidak, tiada pihak yang bertauliah mengesahkan grednya,” katanya.


Sumber berkata, lebih malang apabila kementerian serta agensi yang bertanggungjawab dalam hal itu, tidak mencari jalan menyelesaikan masalah, sebaliknya sibuk mencari pemberi maklumat.


“Kemudian, ada kawan-kawan dalam agensi beritahu saya, Mingguan Malaysia membangkitkan isu penggredan telur premium ini pada Oktober tempoh hari. Tapi, agensi-agensi bukannya duduk bincang tentang apa yang dibangkitkan, sebaliknya kawan-kawan dalam agensi beritahu agensi sibuk pula mahu cari siapa pemberi maklumat.


“Agensi-agensi ini sibuk tanya, macam mana maklumat industri yang sulit dan rumit ini boleh bocor? Macam mana wartawan ini tahu? Mereka pergi ke sudut itu pula. Mereka cakap, ini mesti kerja orang dalam,” kata sumber.


Pada 29 Oktober lalu, akhbar ini mendedahkan beberapa pemborong berkonspirasi menukar label telur gred biasa kepada telur premium untuk meraih keuntungan berganda.


Tindakan itu bukan sahaja menipu pengguna tetapi mengakibatkan harga telur sema­kin mahal sehingga menyukarkan orang ramai khususnya yang kurang berkemampuan mendapatkan sumber protein penting itu.

Next Post Previous Post