Kes kematian bayi di perhentian bas Jelukong masih dalam siasatan


KUCHING--Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak masih menjalankan siasatan dan punca kematian belum dapat ditentukan berhubung kes kematian bayi di perhentian bas Jelukong, Sri Aman, yang tular di media sosial pada Isnin lalu.


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata, pihaknya berharap orang ramai menghormati keluarga mendiang dengan tidak membuat sebarang spekulasi ke atas punca kematian sebelum siasatan selesai dijalankan. 


"JKN Sarawak juga memohon agar ibu bapa bayi berkenaan boleh menghubungi pihak kesihatan secepat mungkin bagi membantu siasatan. 


"Menurut siasatan, bayi berumur tiga bulan berkenaan telah meninggal dunia di dalam bas semasa dalam perjalanan bersama ibunya dari Kuching ke Sarikei pada 4 Disember lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,ibu kepada bayi menyedari bahawa bayi tidak bernafas semasa mereka berhenti di perhentian bas tersebut. 


"Bayi telah dibawa segera ke Hospital Betong dan disahkan telah meninggal dunia apabila sampai ke hospital tersebut.


"Pemeriksaan fizikal dan radiologi telah dilakukan ke atas kes. Walau bagaimanapun, setelah perbincangan bersama anggota polis dari Balai Polis Skrang, Sri Aman, ahli keluarga bayi dan pihak pengurusan hospital, maka, bedah siasat tidak dilakukan," ujarnya.


Katanya, mayat bayi tersebut telah dibawa pulang oleh pihak keluarganya dan dikebumikan di perkuburan rumah panjang di Ulu Pakan, Sarikei. 


"Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bayi ini.


"JKN Sarawak juga sedang dalam usaha menghubungi ibu bapa bayi berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kes ini," jelasnya.

Next Post Previous Post