Kemudahan kesihatan di Sabah Sarawak masih sakit, Menteri Kesihatan
SEGAMAT— Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak khususnya dari segi infrastruktur, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata pihaknya mengambil perhatian aduan serta masalah berhubung perkhidmatan kesihatan di kedua-dua negeri berkenaan termasuk insiden terbaharu membabitkan seorang wanita warga emas dari Lawas yang dilapor meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Miri, Selasa lepas.
"Sebenarnya kita memang maklum tentang masalah-masalah perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak dan kita juga sudah tengok apa yang menyebabkan berlaku di Lawas.
"Ia berkaitan infrastruktur, perjalanan ke hospital dari Lawas ke Miri sangat jauh kena melalui beberapa tempat pemeriksaan, jadi itu antara beberapa perkara yang kita akan cuba pertingkatkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Hospital Segamat di sini hari ini.
Menurut laporan media tempatan, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, ambulans tidak dapat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri, Sarawak, kerana tiada sesiapa di pintu pagar kompleks berkenaan.
Dr Zaliha berkata usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan itu juga memerlukan kerjasama bersepadu agensi kerajaan yang lain, lapor Bernama.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata beliau akan meneliti secara mendalam setiap 13 projek 'sakit' di bawah KKM yang dilaporkan sebelum ini, dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
"Kita kena tengok satu per satu apa sakitnya, kemudian kita teliti setiapnya. Kita kena tengok aduannya dan diagnos dan baru kita boleh buat sesuatu untuk atasi masalah itu," katanya.
September lepas, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata usaha sedang dilakukan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya bagi mempercepatkan pelaksanaan projek terbabit atau menerusi proses pelantikan kontraktor penyelamat.
Dalam isu berlainan, Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata bangunan tambahan Hospital Segamat yang bernilai RM90.5 juta bakal beroperasi awal tahun depan.
Katanya bangunan tersebut yang mula dibina pada 2018 dilengkapi empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta satu Unit Hidrodinamik dan Respiratori (RHU) yang dapat menampung keperluan 223,000 penduduk di daerah ini.
“Dengan kemudahan yang disediakan di blok tambahan ini, Hospital Segamat akan dapat memperluaskan lagi perkhidmatannya sekali gus menampung keperluan penduduk di daerah ini,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Setiausaha KKM Datuk Harjeet Singh, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu.