Kematian bayi akibat jangkitan darah, komplikasi jangkitan selaput otak
KUCHING-- Kes kematian bayi di perhentian bas Jelukong, Sri Aman, yang tular di media sosial baru-baru ini dipercayai akibat jangkitan darah (sepsis) dengan komplikasi jangkitan Selaput otak (meningitis).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata, ini berdasarkan laporan yang diperoleh daripada temu bual bersama ibu bapa, rekod perubatan dan pemeriksaan fizikal ke atas mayat bayi.
"Kita menasihati orang ramai agar membawa bayi atau anak mereka ke fasiliti kesihatan klinik atau hospital terdekat dengan segera sekiranya mendapati bayi atau anak tidak sihat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Disember lalu tular berkaitan kes kematian bayi di perhentian bas Jelukong, Sri Amandi media sosial.
Menjelas lanjut, katanya, menurut laporan siasatan akhir ke atas isu berkenaan, bayi berumur tiga bulan tersebut telah meninggal dunia di dalam bas semasa dalam perjalanan bersama ibunya dari Kuching ke Sarikei pada 4 Disember bertujuan untuk mendapatkan rawatan tradisional.
"Ibu bayi menyedari bahawa bayinya tidak bernafas semasa mereka berhenti di perhentian bas tersebut.
"Bayi telah dibawa ke hospital berdekatan dan disahkan telah meninggal dunia di hospital berkenaan," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, bedah siasat tidak dilakukan kerana pihak keluarga tidak bersetuju.
"Mayat bayi tersebut kemudian telah dibawa pulang oleh pihak keluarganya dan dikebumikan," jelasnya.