Keabsahan Anwar sebagai PM terbukti


KUALA LUMPUR-- Walaupun berlangsung hanya selama dua hari sahaja, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirai Isnin lepas memahat peristiwa penting dalam perjalanan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pada hari pertama persidangan itu, keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 dibuktikan apabila Usul Undi Percaya yang dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof diluluskan dengan undian suara, yang berkesudahan lebih suara bersetuju.


Keputusan Usul Undi Percaya itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu Datuk Johari Abdul, lapor Bernama.


Tuduhan pembangkang kononnya usul itu dipengaruhi oleh Perjanjian Persefahaman Kerjasama yang didakwa sebagai mekanisme paksaan kepada Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan dijawab kemas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi dan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung usul itu.


Azalina berkata walaupun Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri tidak wajib dillakukan, namun kerajaan sendiri telah memohon usul itu untuk dikemukakan pada persidangan kali ini, manakala perjanjian itu pula tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan sah di sisi undang-undang.


Persidangan hari pertama juga menyaksikan pelantikan Johari sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu mendapat undian 147 undi berbanding bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad yang mendapat 74 undi.


Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani dicalonkan oleh Anwar mewakili kerajaan manakala Mohd Radzi dicalonkan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin mewakili pembangkang.


Sebelum ini, Azhar Azizan meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat berkuat kuasa 18 Dis setelah menyandang jawatan sejak 13 Julai 2020.


Sejurus selepas mengangkat sumpah Johari terus menjalankan peranannya dan meneruskan agenda pelantikan dua Timbalan Yang Dipertua.


Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau dipilih menduduki kerusi itu apabila masing-masing mendapat 148 dan 146 undi berbanding seorang lagi calon, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendapat 74 undi.


Hari kedua persidangan pula diwarnai dengan beberapa berita gembira apabila bajet mini melalui Rang Undang-undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 diluluskan untuk membenarkan perbelanjaan sebanyak RM107,718,676,650 dikeluarkan kepada perkhidmatan kerajaan bagi sebahagian tahun 2023.


Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan bajet itu antara lain mengumumkan untuk meneruskan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada penjawat awam gred 11 hingga gred 56 dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam serta sebanyak RM350 kepada satu juta pesara kerajaan.


Selain itu, kerajaan juga katanya bersetuju menyalurkan bantuan awal persekolahan RM150 kepada semua murid tanpa ambil kira had pendapatan ibu bapa pada bulan depan dan menyalurkan bayaran tambahan RM200 Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil pada Januari ini.


Terdahulu Anwar berkata pembentangan rang undang-undang itu bertujuan mendapatkan kebenaran sementara Parlimen supaya kerajaan boleh berbelanja sebahagian anggaran perbelanjaan bagi tempoh beberapa bulan sehingga Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibentang semula dan diluluskan kelak.


Katanya perbelanjaan di bawah rang undang-undang ini antara lain merangkumi bayaran gaji kepada penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.


Sebelum ini Bajet 2023 yang disediakan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sempat dibahas dan diluluskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas.

Next Post Previous Post