Kabinet Anwar Ibrahim, GPS harap empat wakil Sarawak 


KUCHING— Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berharap jumlah wakil rakyat yang dilantik sebagai menteri penuh dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan.


“Sebelum ini kerajaan Persekutuan melantik empat orang Ahli Parlimen dari Sarawak sebagai menteri penuh. Kita harap jumlah ini dikekalkan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas sesi penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru di DUN Sarawak, di sini hari ini.


Selepas Barisan Nasional tumbang di PRU14, Pakatan Harapan cuma sempat memerintah selama 22 bulan. 


Apabila kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan, empat wakil Sarawak dipilih memasuki Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin. 


Apabila kerajaan pimpinan Muhyiddin jatuh, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan empat Menteri Menteri dari GPS iaitu Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).


Abang Johari yang juga Premier Sarawak bagaimanapun enggan mengulas nama Ahli Parlimen yang bakal dilantik mengisi jawatan itu.


Untuk rekod, jumlah wakil terbesar Sarawak dalam kabinet Persekutuan berlaku pada tahun 2015.


Kabinet Menteri atau Jemaah Menteri baharu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah dirombak pada 28 Julai 2015 oleh YAB Perdana Menteri dan mendapat perkenan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong.


Kabinet Najib ketiga menyaksikan Sarawak mempunyai 8 wakil iaitu tiga orang Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala, Datuk Seri Joseph Entulu Belaun, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Manusia Richard Riot Jaem, Menteri Kerja Raya Datuk Sri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas. 


Namun begitu Uggah meletakkan jawatan selepas memenangi kerusi DUN Bukit Saban, seterusnya menjawat tugas sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak di dalam Kabinet Sarawak pimpinan Pehin Sri Adenan Satem.

Next Post Previous Post