Insiden tular lawan arus di Pan Borneo, polis tangkap pemandu bawa lori tanpa lesen


JULAU-- Pihak polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandu cara merbahaya seperti melawan arus dan apa-apa kesalahan lain di Jalan Pan Borneo Julau-Sarikei.


Ketua Polis Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pemandu yang melakukan kesalahan tersebut.


"Kesalahan memandu melawan arus dan merbahaya sehingga menggangu pengguna jalan raya yang lain adalah di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Mereka yang melakukan kesalahan tersebut hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu pada Selasa lalu, video berdurasi 1 minit 56 saat telah dimuatnaik oleh orang awam memaparkan empat  buah lori yang sedang bergerak melawan arus di Kilometer 484.8 di Jalan KJD.


Pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT),  Ibu Pejabat Polis Daerah Julau telah membuat OP Pelbagai yang dilaksanakan untuk mencegah lori atau lain-lain kenderaan yang cuba melawan arus semasa memandu.


Menjelas lanjut, katanya, pemantauan di Jalan KJD dan Op Pelbagai BSPT IPD Julau telah dibuat di Jalan Pakan, semalam.


"Hasilnya sebanyak enam saman telah dikeluarkan kepada pemandu lori dan kereta.


"Antara kesalahan pemandu lori adalah tiada lesen memandu, tiada lesen vokasional dan tiada segitiga keselamatan," katanya.


Katanya, manakala kesalahan pemandu kereta  adalah dua saman kenderaan dilarang masuk dan tidak memakai tali pinggang.


"Usaha berterusan giat dijalankan untuk menahan dan mengambil tindakan kepada mana-mana pengguna jalan raya KJD yang melakukan kesalahan lalu lintas di kawasan yang bersempadan dengan IPD Sibu dan IPD Meradong," jelasnya.

Next Post Previous Post