Insentif pengeluaran getah November boleh dituntut mulai 1 hingga 31 Disember

Pekebun kecil di Semenanjung, Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG berdasarkan kepada pengeluaran November 2022 mulai 1 hingga 31 Dis 2022. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR— Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk pekebun kecil diaktifkan bagi November 2022 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM). 


Dalam kenyataan hari ini, katanya harga purata peringkat ladang bagi ‘cup lump’ atau getah sekerap pada November 2022 berada pada RM2.20 sekilogram bagi Semenanjung, RM1.90 sekilogram bagi Sabah dan RM1.95 sekilogram bagi Sarawak. 


Katanya IPG getah sekerap dan lateks teraktif bagi bulan tersebut di Semenanjung adalah pada kadar 30 sen sekilogram bagi 50 peratus Kandungan Getah Kering (KGK) dan 60 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK.


LGM berkata, di Sabah, ia berada pada kadar 60 sen sekilogram (50 peratus KGK) dan RM1.20 sekilogram (100 peratus KGK) manakala IPG di Sarawak masing-masing pada 55 sen sekilogram (50 peratus KGK) dan RM1.10 sekilogram (100 peratus KGK).


Menurutnya IPG lateks teraktif pula adalah pada kadar 90 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK, lapor Bernama.


Lembaga itu memaklumkan, pekebun kecil di Semenanjung, Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG berdasarkan kepada pengeluaran November 2022 mulai 1 hingga 31 Dis 2022.


Mulai Januari 2019, IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 Percuma Atas Kapal (FOB) berada di paras RM6.10 sekilogram atau harga di peringkat ladang bagi getah sekerap berada di paras RM2.50 sekilogram ke bawah.


Sementara itu, IPG lateks akan teraktif apabila IPG getah sekerap teraktif. 


Kadar IPG lateks adalah tetap iaitu pada kadar 90 sen sekilogram lateks 100 peratus KGK.

Next Post Previous Post