Imigresen UTC Miri lanjut waktu operasi pengeluaran pasport
MIRI— Waktu pengeoperasian pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri dilanjutkan bagi mengatasi isu kesesakan berikutan peningkatan mendadak permintaan untuk urusan pasport.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting berkata, ia dibuka pada jam 7 pagi dan dilanjutkan sehingga jam 9 malam setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad sehingga 23 Disember.
Sebelum ini, pejabat tersebut ditutup pada jam 5.30 petang.
“Langkah ini bertujuan memberi lebih banyak masa kepada orang awam untuk membuat atau memperbaharui pasport mereka terutama yang datang dari luar kawasan Miri seterusnya mengurangkan kesesakan.
Jabatan turut dibantu oleh tujuh pegawai imigresen dari Depoh Bekenu untuk membolehkan lebih banyak kaunter dibuka sepanjang tempoh tersebut,” katanya semasa sidang media di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas isu orang awam yang terpaksa berbaris panjang selama tiga hari berturut-turut untuk memperbaharui dan membuat pasport pejabat imigresen di UTC Miri, seperti yang dilaporkan media sebelum ini.
“Semalam ada penduduk yang mengadu terpaksa berbaris seawal 1.30 pagi di UTC Miri semata-mata untuk membuat pasport.
Inisiatif melanjutkan tempoh pengoperasian ini akan membantu mengatasi masalah terpaksa berbaris panjang,” kata Ting.
Terdahulu, Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau meluangkan masa meninjau keadaan di pejabat Imigresen di UTC Miri.
“Keadaan sesak terkawal dan tiada masalah beratur panjang seperti yang berlaku sebelum ini.
Saya berterima kasih kepada jabatan Imigresen yang bertindak cekap dalam menangani isu ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Ting tidak menolak faktor cuti hujung tahun antara punca begitu ramai yang ‘membanjiri’ pejabat imigersen sehingga terpaksa beratur panjang.
“Bayangkan, sudah dua tahun lebih penduduk tidak keluar dari Miri kerana pandemik Covid-19. Justeru itu, kali ini ramai yang memperbaharui atau membuat pasport untuk bercuti ke Brunei, Sabah atau luar negara.
Saya juga difahamkan kesesakan ini turut berlaku di pejabat imigresen yang lain bukan hanya di Miri,” katanya.