Harga telur mahal, warga Betong dan Miri mengeluh
BETONG— Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha mengawal harga makanan terutama telur ayam, ramai pengguna di Sarawak mengeluh kerana harganya semakin mahal.
Bukan sahaja mahal, malah bekalan telur semakin ‘rare’ untuk didapati kerana stok yang datang tidak menentu.
Rata-rata pengguna terutama pengusaha kuih-muih dan makanan kebingungan susulan masalah ini seolah-olah tiada kesudahan.
Tinjauan di beberapa kedai runcit mendapati masalah kekurangan stok telur sudah pulih. Walaupun masih ada stok, namun tiada jaminan ia mencukupi memandangkan permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan.
Bekalan yang tidak menentu menyebabkan harga telur meningkat di mana satu papan telur gred AA berharga kira-kira RM17.90.
Sementara telur gred C pula berharga RM13.50 sepapan, RM12.90 (gred D) dan telur gred C Omega mencecah sehingga RM7.00 untuk 10 biji.
Sebahagian kedai langsung kehabisan stok telur semua jenis gred.
Seorang pengusaha kuih-muih, Rais Diah memberitahu Borneo Network jualannya turut terjejas kerana terpaksa mengurangkan tempahan ekoran bekalan telur yang berkurangan.
"Bagi kami peniaga kuih muih, ketiadaan bekalan telur menjejaskan perniagaan kami untuk terus bertahan selain sukar mencari rezeki.
Harga telur yang terus meningkat turut memberi kesan tehadap kelangsungan perniagaan kami yang bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan harian,” keluhnya.
Pengusaha makanan bergoreng, Siti Herda berharap agar kerajaan memandang serius kekurangan bekalan telur di samping mengawal harga untuk mebgurangkan beban rakyat.
“Kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya trmasuk tindakan terhadap pihak yang memanipulasi bahan keperluan sehingga membebankan rakyat,” katanya.
Ahad lalu, Anwar dipetik Sinar Harian sebagai berkata, bekalan telur kembali banyak sejak beberapa hari lalu dan akan ditambah untuk memenuhi keperluan rakyat.
"Apa yang menjadi masalah kini adalah harga barang dan kos sara hidup. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak industri, nampaknya sudah menyediakan telur ayam di pasaran dengan mencukupi.” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan sara Hidup Negara 2022 di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Sementara itu di Miri, bekalan telur di kebanyakan pasar raya masih mencukupi namun terhad untuk gred tertentu.
Harga bagi sepapan telur omega dijual pada harga RM21.79, telur ayam kampung (RM16.99) dab selenium gred B (RM18.99).
Manakala telur ayam kampung untuk 10 biji dijual pada harga RM7.49, omega (RM7.89) manakala selenium (RM11.79). Di pasar raya lain, harga sepapan telur ayam omega dijual dengan harga antara RM18.90 hingga RM19.50.
Pengusaha biskut, Masnah Jamin berkata beliau terpaksa bergelut dengan isu bekalan telur yang berkurangan selain harga yang melambung naik.
“Kalaupun ada stok, kami terpaksa berbelanja lebih. Kami berharap harga telur ini dapat diturunkan,” katanya.
Terdahulu Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Sarawak sudah mencapai Kadar Sara Diri (SSR) 100 peratus telur dengan pengeluaran 55 juta biji sebulan.
Beliau berkata demikian semasa keika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.