Dewan Negara lulus peruntukan khas RM107.72 bilion
Rang undang-undang yang diusulkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan itu diluluskan dengan suara majoriti Ahli Dewan Negara selepas dibahaskan oleh enam Senator. |
KUALA LUMPUR-- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 melibatkan perbelanjaan perkhidmatan RM107.72 bilion.
Rang undang-undang yang diusulkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan itu diluluskan dengan suara majoriti Ahli Dewan Negara selepas dibahaskan oleh enam Senator.
Terdahulu, semasa menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Ahmad berkata Kerajaan Perpaduan akan sentiasa berusaha memastikan kos sara hidup rakyat di peringkat terkawal.
Bagi tujuan itu, beliau berkata buat kali pertama dalam sejarah negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diwujudkan.
“Sebelum ini tak pernah ada menteri kos sara hidup dan kali ini kita gabungkan, tentunya adalah bertujuan untuk memastikan kos sara hidup rakyat di peringkat yang terkawal,” katanya, lapor Bernama.
Ahmad berkata bajet sementara itu yang telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam diperuntukkan untuk enam bulan pertama 2023, sementara menunggu bajet sebenar dengan mengambil kira kepentingan penjawat awam serta bantuan tunai kepada rakyat.
Ini termasuk bantuan tunai RM150 kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah yang melibatkan peruntukan sehingga RM450 juta.
Semasa sesi perbahasan, Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah mencadangkan kerajaan mengadakan perancangan tertentu dengan kadar segera bagi mengurangkan kos sara hidup yang dialami rakyat ketika ini.
“Beban kos sara hidup rakyat adalah sangat meruncing dan sangat tinggi ketika ini. Sepinggan nasi campur sekarang ini sudah mencecah belasan ringgit…ia tidak masuk akal tapi itulah realitinya,” katanya.
Selain itu, menyentuh mengenai keterjaminan bekalan makanan negara, Ahmad Azam turut mencadangkan agar kerajaan tidak memanjangkan tempoh kebenaran import telur bagi mengawal harga sumber protein itu pada masa akan datang.
Katanya, ini kerana telur dan ayam adalah antara bekalan makanan yang telah mencapai tahap sara diri, malah telah berjaya dieksport ke negara tertentu sejak 1980-an.
“Jadi kalau kita tidak bendung dan kawal pengimportan kedua-dua bahan ini, saya rasa pada suatu ketika nanti ayam dan telur jadi tidak terkawal harganya,” katanya.