DAP Sarawak kecewa hanya empat sahaja menteri dari DAP dilantik dalam barisan kabinet
BINTULU: Penolong Setiausaha Organisasi Negeri Sarawak di Parti Tindakan Demokratik (DAP), Tony Ung melahirkan kekecewaan mengapa hanya empat sahaja wakil dari parti terbabit diambil sebagai menteri dalam barisan kabinet yang baharu meskipun DAP memenangi paling banyak kerusi dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) lepas.
Katanya, beliau bukan mempersoalkan barisan kabinet kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 yang baru sahaja ditubuhkan itu, namun DAP seharusnya mendapat jawatan menteri lebih dari empat sebagai penghargaan terhadap DAP yang membantu dalam memenangkan Pakatan Harapan.
"Kemenangan Pakatan Harapan khususnya DAP dalam memenangi banyak kerusi pada PRU15 kali ini menjadi peristiwa penting iaitu menangkis Perikatan Nasional (PN) yang ditolak rakyat kerana dilihat sebuah parti politik yang agak ekstrem dan suka memainkan sentimen perkauman dan agama.
Katanya, DAP mempunyai ramai ahli politik yang layak dan komited dalam mampu menjalankan tugasan yang diamanahkan buat mereka dengan baik, namun tidak dilantik yang mana ianya amat dikesali oleh penyokong DAP.
Katanya, apa yang dizahirkan beliau bukan bermakna menidakkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan bersifat gila kuasa, sebaliknya pengorbanan DAP harus diambil kira bagi perjuangan dalam Pakatan Harapan sekaligus mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Tony dalam pad itu mengucapkan tahniah kepada empat kepimpinan parti DAP yang dilantik sebagai menteri iaitu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan, Nga Koh Ming sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan, dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Sivakumar sebagai Menteri Sumber Manusia.
"Dalam masa sama, saya turut menzahirkan tahniah kepada Dato' Seri Tiong King Sing selaku Ahli Parlimen Bintulu yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan dan menyertai kabinet kerajaan untuk pertama kali," ujar beliau.