Covid-19: AS lulus suntikan dos penggalak untuk kanak-kanak usia 6 bulan


NEW YORK— Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS (FDA) meluluskan vaksin COVID-19 untuk diberikan kepada kanak-kanak berumur enam bulan ke atas bagi mencegah varian Omicron.


Menurut laporan Agensi Berita Jerman dpa yang memetik FDA, kanak-kanak di bawah umur lima tahun  dibenarkan untuk menerima suntikan dos penggalak bivalen.


"Kami menggalakkan ibu bapa dan penjaga yang layak untuk mempertimbangkan terutama ketika menjelang musim cuti dan musim sejuk memandangkan lebih banyak masa dihabiskan dengan berada di dalam rumah," kata Pesuruhjaya FDA Robert M. Califf pada Khamis.


Menurut beliau, memandangkan virus itu telah berubah, kesedaran orang ramai terhadap perkembangan terkini mengenai vaksin COVID-19 akan memberi banyak manfaat kepada lebih ramai individu, keluarga dan kesihatan awam.


“Ia membantu mencegah penyakit yang teruk, kemasukan ke hospital, dan kematian,” kata beliau, lapor Bernama.


Kelulusan terbaharu AS itu termasuk bivalen yang dihasilkan Pfizer dan Moderna. Di bawah garis panduan baharu, kanak-kanak yang telah menerima dua suntikan awal vaksin Moderna boleh mendapat satu suntikan dos penggalak bivalen.


Kanak-kanak yang belum mendapat dos ketiga vaksin Pfizer kini akan diberi penggalak bivalen tetapi mereka yang telah menerima tiga suntikan masih belum layak menerima suntikan yang dikhususkan untuk Omicron, kata FDA.


"Vaksin kekal sebagai benteng pertahanan terbaik terhadap kesan teruk seperti kemasukan ke hospital dan kematian yang disebabkan varian Omicron yang masih menular," kata Pengarah Pusat Penilaian dan Penyelidikan Biologi FDA Peter Marks.

Next Post Previous Post