Buat aduan banjir macam-macam alasan, luah penduduk Kampung Sealine
Keadaan salah sebuah rumah di Kampung Sealine, Jalan Lutong Kuala Baram yang dinaiki air selepas banjir kilat. Gambar Wii Piu |
MIRI— Dua hingga tiga kali rumah dinaiki air akibat banjir kilat setiap bulan, itu nasib yang menimpa salah seorang penduduk di Kampung Sealine, Jalan Lutong Kuala Baram dekat sini.
Menurut Wii Piu dalam hantaran di Facebooknya, kejadian banjir berpunca daripada sistem perparitan utama kampung itu yang tidak berfungsi dengan baik akibat tersumbat dengan pasir.
Melalui perkongsian gambar, banjir itu menyebabkan air masuk dan menenggelamkan lantai rumah pengadu.
“Setiap bulan sampai dua hingga tiga kali banjir. Kejadian banjir berpunca daripada longkang yang tersumbat kerana dipenuhi pasir.
Justeru, saya berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera dengan membersihkan longkang tersebut,’ katanya.
Menerusi hantaran itu lagi beliau berkata, masalah sudah diajukan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) namun penduduk dimaklumkan ia dibawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya juga dimaklumkan banjir itu bukan berpunca daripada longkang tersumbat sebaliknya air pasang.
Kampung sebelah pun mengalami air pasang namun tidak sampai masuk ke rumah,” katanya.
Katanya, beliau hanya mahu longkang itu dibersihkan untuk mengelakkan masalah banjir kilat berulang lagi pada masa akan datang.
Seorang lagi penduduk berkata, berbanding sebelum ini masalah banjir di Kampung Sealine tidak seteruk sekarang.
Pemilik akaun Facabook, Sherenie Umi Sengalang berkata, setiap kali air pasang mereka terpaksa memindahkan harta benda ke tempat yang lebih tinggi.
“Sebelum ini banjir tiada sampai masuk ke rumah,” luahnya.
Sementara itu masalah tersebut sudah dikemukakan kepada Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man untuk tindakan selanjutnya.
"Saya sudah menerima aduan dan akan menghantar wakil untuk memeriksa keadaan longkang tersebut minggu hadapan," katanya ketika dihubungi Borneo Network petang tadi.