Bincang dengan Menteri Pelancongan tambah baik kemudahan di Sarawak, Abdul Karim

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING— Kerajaan Sarawak akan berbincang dengan Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing bagi menambah baik kemudahan lokasi pelancongan negeri itu.


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tumpuan semestinya terhadap lokasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan taman negara.


“Sekarang ini pelancong datang (ke Sarawak) bukan untuk membeli-belah tetapi untuk merasakan alam semula jadi kerana kebanyakan mereka menetap di bandar besar.


“Tempat tarikan pelancongan ini perlu mempunyai kemudahan baik seperti tandas, tempat letak kenderaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Abdul Karim berkata setakat hari ini beliau belum mengadakan pertemuan dengan Tiong tetapi tetap gembira melihat warga Sarawak menjadi Menteri Pelancongan di peringkat Persekutuan.


“Dia (Tiong) adalah warga Sarawak dan lebih mudah untuk dibawa berbincang atau dihubungi. Orang Sarawak juga tidak akan melupakan Sarawak," katanya.


Sementara itu, Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak mengalu-alukan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Hannah Yeoh untuk berkunjung ke Sarawak.

Next Post Previous Post