Anwar selesai menghadap Agong, Kabinet Perpaduan diumumkan petang ini?
KUALA LUMPUR-- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Difahamkan, Perdana Menteri mempersembahkan senarai jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan bagi mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
Kenderaan dinaiki Anwar dilihat memasuki perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 pada 8.22 pagi.
Selepas sesi menghadap hampir sejam, beliau kemudian beredar meninggalkan perkarangan Istana Negara pada 9.15 pagi.
Dalam masa sama, Anwar sempat menurunkan tingkap dan melambai kepada pengamal media yang berkumpul di sini.
Malam tadi melalui Facebooknya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia berharap pengumuman itu dapat dibuat dalam masa beberapa hari lagi lapor Malaysiakini.
"Kita terpaksa bergegas menyelesaikan masalah dengan semua komponen parti kerana kita harus segerakan untuk membentuk barisan jemaah menteri supaya diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan dapat kita umumkan, kalau boleh, dalam masa dua, tiga hari ini. Insyallah.
"Setakat ini hampir seluruhnya sudah hampir beres dan saya akan cerakin, berkemaskini.
“Lepas cerakin kita telusi, meneliti, dan menelaah,” katanya pada majlis perhimpunan bersama aktivis Reformasi.
Astro Awani melaporkan "desas-desus" mendakwa pengumuman barisan Kabinet akan dibuat oleh Perdana Menteri pada petang ini.
Begitupun, ia belum disahkan lagi.