3 penghuni hilang tempat tinggal kebakaran

Dalam kebakaran di Kampung Lintang, Balingian kira-kira jam 7.40 malam itu, sebuah rumah musnah seratus peratus manakala kesemua mangsa selamat. Gambar Bomba

MUKAH—Tiga penghuni termasuk dua warga emas dan seorang wanita hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terbakar di Kampung Lintang, Balingian di sini, malam tadi.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 7.40 malam dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Balingian  ke lokasi kejadian.


Katanya, kebakaran melibatkan rumah kediaman jenis tidak kekal dua tingkat bertiang telah musnah seratus peratus.


“Tindakan kerja-kerja (Cooling) oleh PBS Balingian seramai 15 orang serta dibantu oleh penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran daripada merebak.


Pasukan PBS membentang tiga hos hantaran dengan sumber air terbuka dan pili bomba berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau menambah, anggota Bomba Mukah yang tiba di tempat kejadian pada jam 8.35 malam seterusnya bertindak membentang satu aliran salur bantu mula sumber air dari tangki jentera bagi memadamkan sisa bara api dan memastikan tiada lagi punca api. 


"Kebakaran juga tiada melibatkan mangsa kecederaan dan sebarang kehilangan jiwa, operasi memadam kebakaran tamat jam 9.35 malam," ujarnya.

Next Post Previous Post