3 penghuni hilang tempat tinggal kebakaran awal pagi
Gambar kredit Bomba |
BINTANGOR--Tiga penghuni hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Jalan Sungai Meliu Mador di sini, terbakar awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 1.21 pagi dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah berstruktur kekal telah terbakar 80 peratus.
"Semasa kebakaran seramai tiga orang penghuni rumah berjaya keluar dan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak Bomba membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula (SBM) sumber air dari tangki jentera dan satu aliran, 500 kaki, satu nozel, satu pam angkut dan sumber air terbuka.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.56 pagi dan tamat sepenuhnya jam 3.10 pagi.
"Setelah memastikan keadaan benar selamat dan tiada lagi punca nyalaan, pasukan Bomba bertolak balik ke balai," ujarnya.