2 warga Nepal maut dengan kesan hentakan di muka
SEREMBAN-- Dua warga asing ditemui maut dengan kesan kecederaan hentakan di muka di rumah kedai Pusat Komersial Oakland di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 6.45 petang tadi dan sejurus tiba ditempat kejadian polis menemukan tiga warga Nepal termasuk seorang lagi yang berada dalam keadaan normal.
Katanya kedua-dua mangsa itu merupakan pengawal keselamatan berusia 35 tahun dan 46 tahun berada di lokasi kejadian yang merupakan tempat pekerja mengambil makanan.
“Setelah tiba di lokasi kejadian, polis mendapati dua lelaki bangsa Nepal telah mati dan seorang lagi masih dalam keadaan normal. Motif kejadian masih dalam siasatan.
Keadaan kedua-dua mangsa adalah terlentang berada berjauhan antara satu sama lain dan terdapat kecederaan di bahagian muka dipercayai ada kesan hentakan tetapi polis masih memerlukan pemeriksaan forensik,” katanya kepada pemberita, lapor Bernama.
Beliau berkata polis mendapati lelaki yang berada bersama mangsa tersebut dipercayai di bawah pengaruh alkohol selain turut menemukan tukul yang disyaki senjata digunakan dalam kes itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.