2 dipercayai pasangan kekasih maut pondok terbakar
ALOR SETAR-- Dua individu yang ditemukan maut dalam kebakaran sebuah pondok keselamatan diperbuat daripada kontena di Taman Bayam Indah, Lunas di Kulim, malam tadi, dipercayai pasangan kekasih.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dikenal pasti memandangkan lelaki berusia lingkungan 30-an manakala mangsa wanita berusia lingkungan 20-an melecur antara 70 hingga 80 peratus.
"Buat masa awal ini, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan berdasarkan laporan awal bomba mendapati tiada elemen khianat. Lelaki ini dipercayai pengawal keselamatan di situ.
"Pemeriksaan lanjut mendapati pondok keselamatan itu berkunci dari dalam dan bomba terpaksa memecahkan pintu untuk memadamkan kebakaran itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini, lapor Bernama.
Media hari ini melaporkan dua mayat ditemukan dalam pondok itu dan Pengarah Bomba Kedah, Sayani Saidon, dilaporkan sebagai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.56 malam.
Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata kemungkinan kedua-dua mangsa itu sedang tidur atau tidak sedarkan diri mengenai kebakaran itu berlaku dan siasatan lanjut berhubung punca kebakaran itu tetap diteruskan untuk mengetahui berkemungkinan wujud elemen lain berhubung kes itu.
"Pemeriksaan lanjut pihak bomba mendapati tidak ada penyambungan masuk elektrik di situ dan ada sofa yang mungkin terbakar dalam keadaan mereka tak sedarkan diri," katanya yang memaklumkan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.