14 penghuni hilang tempat tinggal, kediaman terbakar di Kampung Pulo
KUCHING-- Lima keluarga terdiri daripada 14 penghuni hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terbakar di Kampung Pulo Hulu di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.22 pagi tadi dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dengan bantuan BBP Padungan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat telah terbakar keseluruhan.
"Turut terbakar ialah sebuah kenderaan, semua mangsa berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan Bomba membuat kerja-kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran 900 kaki dua nozel kaedah relay pumping sumber air dari jentera dengan teknik pemadaman secara defensive sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya.
"Setelah mempastikan keadaan selamat dan tiada lagi punca api pasukan Bomba bersama jentera bertolak balik ke balai, operasi ditamatkan pada jam 6.39 pagi," ujarnya.
Katanya, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.