Zuraida akhirnya iktiraf Larry sebagai Presiden

Sng dan Zuraida berjaya menyelesaikan isu pentadbiran PBM hari ini.

PETALING JAYA — Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng akan menandatangani watikah (surat pelantikan) calon parti itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


Ini dengan sendirinya memperakukan bahawa anak Dato Sng Chee Hua itu sebagai Presiden PBM.


Isu pentadbiran membabitkan Datuk Zuraida Kamaruddin dan Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berjaya diselesaikan selepas kedua-duanya berkunjung ke pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) di Putrajaya pagi ini, lapor FMT.


Jabatan Penerangan dan Komunikasi PBM  yang mengesahkan perkara ini berkata, kepimpinan parti bersetuju Sng akan menandatangani watikah (surat pelantikan) calonnya pada PRU15.


“Beliau akan menandatangani watikah bagi calon PRU15 mewakili PBM yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambahnya, hal lain yang berkaitan dengan pentadbiran PBM akan dibincang dan diselesaikan selepas PRU15 selesai.


Sebelum ini kontroversi tercetus di antara Sng dan Zuraida apabila keda-duanya berkeras mengenai siapa yang berhak menjadi presiden PBM sepanjang minggu lalu.


Pada Ahad, Ketua Pengarah ROS Nawardi Saad mengesahkan bahawa Sng masih presiden PBM. Namun Zuraida menegaskan bahawa dia adalah presiden yang sah.


Sng pula mendakwa beliau tidak pernah mengosongkan jawatan itu untuk diisi oleh Zuraida.


Sebelum ini, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, bersama 12 Ahli Majlis Tertinggi parti itu digantung keahlian oleh Larry berdasarkan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii) kerana pembabitan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepemimpinannya.


PBM ditubuhkan oleh Sng manakala Zuraida dinamakan “presiden pengganti’ apabila beliau menyertai parti itu.


Zuraida menerusi Facebook hari ini menyifatkan perkembangan itu permulaan hari yang baik buat seluruh akar umbi Bangsa Malaysia.


“Pimpinan tertinggi Parti Bangsa Malaysia hari ini berikrar siap siaga mendepani PRU15 dengan nada satu hati menuju kemenangan.


Terima kasih pada semua yang mendoakan.


“Insya Allah kita akan terus bekerja dan mempertahankan tunjang kekuatan yang kita bina,” katanya.

Next Post Previous Post