Undi18: Belia Sarawak sokong GPS, Fadillah

Fadillah bersama peserta belia yang menyertai Program Juh Berekot bersama Fadillah Yusof di Pustaka Negeri Sarawak petang tadi.

KUCHING — Belia di Sarawak menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana mereka percaya parti ini dapat menjamin masa depan yang baik.


Calon GPS Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah melakukan tugas yang baik melalui pelbagai inisiatif dalam memulihkan ekonomi negeri selepas pandemik Covid-19.



“Pelbagai insiatif pemulihan telah dilaksanakan dan saya yakin rakyat terutama golongan belia di kalangan pengundi 18 menerima GPS.


“Berdasarkan kempen dan program yang banyak kita anjurkan sebelum ini, respon daripada belia amat baik. Mereka terutama yang pertama kali mengundi begitu bersemangat” katanya kepada media semasa Program Juh Berekot bersama Fadillah Yusof di Pustaka Negeri Sarawak petang tadi.



Fadillah yang merupakan penyandang parlimen Petra Jaya sejak 2004 dalam pada itu tidak menafikan undi 18 memberi cabaran berbanding pilihan raya umum sebelum ini.


“Saya tidak kata ia tidak mencabar, ia mencabar. Namun saya yakin dapat menambat hati belia. Saya percaya mereka bersama GPS.


“Untuk itu, saya ucapkan terima kasih kepada semua belia,” katanya.


Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov  ini menyaksikan Fadillah ditentang Datuk Othman Abdillah dari Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR)  dan Sopian Julaihi (PKR).

Next Post Previous Post